Kematian sepasang warga emas dalam insiden motosikal meletup di Gua Musang pada Rabu, tiada kaitan dengan kumpulan militan IS, sebaliknya kes bunuh yang dilakukan anak angkat mereka.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata suspek berusia 27 tahun
itu berbuat demikian kerana tidak puas hati dengan keengganan mangsa
menjual kebun getah mereka.
Menurutnya hasil siasatan ke atas suspek mendapati bahan letupan
berkenaan dibeli dengan harga RM300 dari Thailand dan dipasang di
motosikal yang dinaiki kedua-dua mangsa sejak tiga hari lepas.
“Suspek berbuat demikian kerana mangsa enggan menjual kebun getahnya
seluas 4.8 hektar bagi digunakan untuk membawa pulang isterinya seorang
warga Laos.
“Isteri suspek sebelum ini telah diusir dari negara ini kerana datang
secara tidak sah dan pemuda itu turut mempunyai masalah kewangan.
“Kes ini dianggap selesai dan polis menolak dakwaan sesetengah pihak
kononnya kejadian itu mempunyai kaitan dengan kumpulan militan IS,”
katanya.
Mazlan berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis
Perjumpaan Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti
(JPJKK) Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Sukarelawan Simpanan Polis
Diraja Malaysia (SSPDRM) Zon Timur di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD)
Kota Baharu di sini, Khamis.
Majlis yang dirasmikan Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan
Keselamatan Komuniti (JPJKK) Datuk Acryl Sani Abdullah Sani itu turut
dihadiri kira-kira 300 pegawai dan anggota SSPDRM dari Kelantan,
Terengganu dan Pahang.
Mazlan juga berkata Unit Pemusnah Bom Bukit Aman masih menyiasat bahan yang digunakan untuk membuat bom berkenaan.
Beliau berkata suspek kini ditahan reman selama 14 hari bermula semalam
dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana
membunuh.
Semalam, pasangan suami isteri masing-masing berusia 72 tahun maut
selepas motosikal yang dinaiki mereka meletup di Kilometer 10 Jalan Gua
Musang-Kampung Pulai, Gua Musang.
0 comments:
Post a Comment