Video lelaki tidak berbaju baring sambil bersenam di tengah lebuhraya
PLUS | Video berdurasi 45 saat yang menunjukkan seorang lelaki tidak
berbaju melakukan aksi regangan di tengah-tengah lebuh raya di negara
ini menjadi viral sejak beberapa hari lalu.
PLUS Malaysia Berhad ketika dihubungi mengesahkan insiden itu berlaku
pada kira-kira pukul 11.30 pagi 4 Oktober lalu memetik MStar.

“Pusat Pemantauan PLUS menerima satu panggilan daripada seorang pengguna
lebuh raya yang memaklumkan bahawa terdapat seorang lelaki baring di
tengah-tengah lebuh raya di KM268.2 (arah utara) di Lebuhraya Utara
Selatan dekat Bandar Ainsdale, Seremban,” menurut PLUS.
Menurut syarikat itu, pasukan PLUSRonda dengan segera bergegas ke tempat
kejadian, namun lelaki berkenaan dipercayai telah meninggalkan lokasi
lebih awal.
Video itu yang dimuat naik di sebuah halaman komuniti Facebook pada
Selasa lalu ditonton hampir 800,000 kali dengan lebih 6,000 kongsi.
Ia menunjukkan seorang lelaki tidak berbaju berbaring di lebuh raya sambil mengangkat kedua-dua tangan dan kakinya.
Lelaki yang tidak dikenali itu membuat aksi regangan dengan mengangkat
kaki. Pengguna lebuh raya memperlahankan kenderaan mereka bagi
mengelakkan daripada melanggarnya.
Sebuah kereta sedan warna perak dipercayai milik lelaki berkenaan kelihatan diletakkan pada arah bertentangan di sebelahnya.
Lelaki tersebut dan keretanya didapati menghalang dua laluan daripada empat laluan lebuh raya ketika itu.
Seorang pengguna Facebook, Norzuliana Binti Zakaria memberikan komen
berhubung video itu dengan mendakwa bahawa dia berada di tempat kejadian
ketika ia berlaku.
“Ia berlaku di depan mata saya, dia pandu kereta sangat laju di Lebuhraya KL-Seremban,” katanya.
Tambah Norzuliana, lelaki tersebut memintas pemanduannya, dan hilang kawalan sehingga hampir melanggar pembahagi jalan.
“Kereta dia berpusing, dan selepas itu dia keluar dari kereta dan secara
tiba-tiba dia baring di atas jalan. Dia tidak berbaju dan badannya
mempunyai kesan membuat bekam,” katanya.
Menurut Norzuliana, lelaki berkenaan kemudiannya bangun dan beredar selepas lima minit.
“Saya tidak tahu untuk katakan lelaki itu kurang siuman. Dan selepas
kami memintas keretanya, dia dilihat sedang menghisap rokok dengan
keadaan keretanya dipasang lampu kecemasan,” katanya.
Ramai netizen turut mempersoalkan apakah punca lelaki berkenaan baring
di atas jalan, dengan beberapa orang turut memberi komen bahawa dia
bernasib baik kerana tidak dilanggar atau mengalami kecederaan.

0 comments:
Post a Comment