SAYA sering membaca kisah-kisah yang dipaparkan dalam ruangan ini yang banyak mengisahkan kecurangan suami sahaja. Biasanya kaum wanitalah yang sering mengadu tentang keburukan kelakuan, tabiat dan perbuatan sumbang suami masing-masing.
“Namun saya tak
salahkan mereka kerana mereka yang merasakan penderitaannya tentulah
sakit hati dan ingin meluahkan perasaan masing-masing. Mereka tahu
cerita mereka menjadi rahsia, dan apa yang tersemat di hati mereka cuma
penulis sahaja yang tahu.
“Tetapi kali
ini saya ingin mencurahkan perasaan saya. Kalau selalunya wanita berasa
tertipu dengan suami masing-masing, perasaan saya lebih sakit lagi
apabila dikhianati isteri sendiri.” Demikian cerita Zain ketika penulis
menghubungi beliau setelah membalas e-melnya kerana ingin bertanya lebih
lanjut lagi.
Memang terkejut tetapi bukan mustahil boleh berlaku kerana dunia ini pentas dan kita semua adalah pelakonnya.
“Apa perasaan
puan bila baca cerita saya, terkejut tak? Tentu terkejut kan! Saya rasa
bukan saya seorang sahaja suami yang berperasaan demikian. Ada lagi
mungkin tidak ramai kaum lelaki yang mempunyai pengalaman pahit seperti
yang saya lalui, tetapi mereka suka mendiamkan diri. Dulu saya pun
menyimpan perasaan yang sama, tetapi semakin lama kita simpan semakin
perit, pedih dan menjadi racun berbisa.
“Jadi hari ini
saya luahkan kepada puan, pertimbangkanlah. Memang benar zaman ini
macam-macam perkara yang kita tak sangka boleh berlaku. Demikian
pengalaman pahit yang saya lalui.
“Saya bekerja
tetap tahun 70-an, oleh kerana saya daripada keluarga susah, ramai
adik-beradik, maka saya amat sayangkan kerja. Saya bekerja tak tentu
masa kerana terlalu gembira dengan tugas, sesuatu yang saya idam-idamkan
selama ini.
“Walaupun saya
mendapat tawaran ke U tetapi saya tolak, sebab keluarga miskin, jadi
saya berkorban supaya saya boleh bekerja dapat duit, bantu ayah
sekolahkan adik-adik. Saya bersyukur semua adik-beradik saya berjaya
dalam pelajaran, lulusan U dan semuanya memegang jawatan yang baik juga.
“Biarpun saya
tidak lulus U tetapi kerana dedikasi dan ketekunan bekerja, saya naik
pangkat dan menjawat jawatan yang baik. Ini balasan Allah daripada
pengorbanan besar yang saya lakukan demi pelajaran adik-adik saya.
“Kerana terlalu
sayangkan kerja, saya terlupa usia semakin meningkat dan tak kahwin.
Hidup saya cuma rumah dan tempat kerja saja. Sebelum pukul 8 saya dah
mula bekerja dan balik pukul 6 petang ada kalanya lewat malam. Dan bila
kerja banyak ada kalanya sampai pagi. Hari Ahad dan Sabtu sama saja. Ada
satu ketika rutin ini berterusan hingga 114 hari, termasuk hujung
minggu dan cuti umum, hingga risau ibu di kampung.
“Saya hanya
lulus MCE, tetapi nasib menyebelahi saya. Jawatan kerajaan yang dipegang
adalah idaman ramai. Pendapatannya lumayan bagi seorang bujang umur
20-an, dapat kereta baru, dan dihormati ramai, tentu glamor juga di mata
gadis-gadis.
“Tetapi kerana taksub dengan kerja, saya lupa dunia, hiburan dan hidup berkeluarga. Akhirnya ketua jabatan, se-
orang pengarah merancang konspirasi menjodohkan saya kerana tidak mahu melihat hidup saya habis di pejabat.
“Awal tahun
70-an usia dah dekat 30 tahun masih bujang. Di pejabat, saya digelar the
most eligible bachelor. Konspirasi mereka menjadi, mereka memaksa saya
berkahwin dengan seorang gadis yang boleh dikatakan cantik juga.
“Anak ulama
daripada keluarga agak tersohor dan dikenali secara peribadi oleh ketua
jabatan saya. Hampir setahun berkenalan, akhirnya saya mendirikan rumah
tangga dengan Hamizan.
“Belum dua
tahun berkahwin, Hamizan melahirkan anak, disusuli seorang lagi tiga
tahun kemudian dan ketiga, lima tahun kemudian. Dalam pada itu saya
dinaikkan pangkat, melayakkan saya menduduki banglo kuarters kerajaan di
KL. Saya juga dianugerahkan bintang kebesaran Persekutuan, semua dalam
tempoh kurang 13 tahun saya bertugas.
“Hamizan
bekerja di sebuah badan berkanun. Dia gemar bersukan apa jenis pun dan
aktif berpersatuan. Rajin menyertai kegiatan kesenian dan kebudayaan,
seperti menari dan berdrama. Kebolehannya ini membawanya ke seluruh
negara dan ASEAN dalam misi mengeratkan silaturahim antara badan-badan
yang sama antara negara tersebut.
“Kerana aktif
berpersatuan, dia sering pulang lewat selepas pukul 8 malam dan
kadangkala sehingga pukul 10 malam. Saya tidak merasa syak-wasangka
kerana kami diketahui ramai sebagai pasangan ideal. Tetap bergurau
senda, berpegang tangan semasa berjalan dan tidak kurang menunjukkan
affection pada bila-bila masa. Kami saling sayang-menyayangi.
“Suatu hari
lebih kurang sedekad lalu, seorang hamba Allah menelefon saya dan
bertanya mengapa saya biarkan isteri diusung orang merata tempat. Saya
jadi bingung kerana selama ini Hamizan tidak menunjukkan sebarang tanda
dia curang selain pulang lewat. Sungguhpun saya sangsi cerita pemanggil
itu, namun hati saya mula curiga. Saya bawa bertenang, dan tidak
terburu-buru menyergah Hamizan. Saya cuba siasat sendiri.
“Suatu hari
saya pulang pukul 3 pagi, dengan kehendak Allah jua saya ternampak bukti
pertama sebuah diari di sebelah Hamizan, ketika itu dia tertidur.
Hampir pitam saya bila membelek diari itu. Rupa-rupanya dia keluar masuk
hotel dengan teman-teman lelakinya, termasuk orang berpangkat tertinggi
di jabatannya, juga berpangkat rendah.
“Bila diajukan
dengan bukti Hamizan tidak dapat mengelak daripada mengakuinya. Dia
menceritakan segala-galanya, termasuk kecurangannya. Mahu saya cekik dia
ketika itu. Tapi ingatkan anak-anak dan maruah keluarga, saya mengucap
berkali-kali. Ketika itu anak-anak sedang membesar dan pencapaian
pelajaran mereka amat menggalakkan. Mengenangkan masa depan mereka, saya
tidak bertindak. Kalau dulu saya berkorban untuk adik-beradik, kali ini
saya berkorban untuk anak-anak, maruah mereka dan keluarga saya.
“Walaupun marah, namun saya beri amaran keras bahawa sekiranya perbuatan ini berulang lagi padahnya amat berat. Dia menangis meminta ampun.
“Malangnya
pisang berbuah banyak kali. Hamizan mengulangi kegiatannya meskipun
tidak lagi pulang lewat. Kali ini saya menemui bukti setelah menerobos
masuk ke e-melnya. Kali ini temannya seorang jurutera sebuah syarikat
telekomunikasi dan seorang jeneral yang pernah dikenali semasa remaja.
Saya tak mahu marah lagi, kerana inilah sifat buruknya yang sebenar.
Mulai hari itu antara kami sudah tidak ada apa-apa.
“Namun untuk
meyakinkannya saya hubungi teman-temannya itu, dan berjaya mendapatkan
pengakuan bertulis mereka, ada juga secara lisan. Saya beritahu
mereka perbuatan mereka akan ada balasannya, tiada statute of
limitation, bermakna balasannya mungkin serta-merta, lepas lima tahun
atau 20 tahun, bila-bila saja. Allah maha besar.
“Apa yang
menghairankan saya, Hamizan bukan anak orang sembarangan, dia anak
ulama, pandai mengaji al-Quran kalau berlagu ala qari terkenal Ismail
Hashim, baca Yasin setiap malam Jumaat dari dulu sampai sekarang,
sembahyang, puasa, termasuk yang sunat, tak pernah tinggal, bertudung,
pakaian sopan. Malah kalau berzanji merdu suaranya. Setelah difikirkan
baru saya sedar, apa yang dilakukan adalah untuk mengaburi mata saya
daripada melihat maksiat dan kecurangan yang dilakukan di luar.
“Walaupun saya begitu marah tetapi memukul tidak sekali-kali. Saya bawa bertenang kerana memikirkan anak-anak
kami ketika itu sedang membesar. Tetapi sedihnya peristiwa pahit dalam
kehidupan saya, belum berakhir. Satu hari anak kedua saya Nuraine yang
melanjutkan pelajaran dalam bidang kejuruteraan di IPTA pulang bercuti.
Sampai di rumah dia terus memeluk saya dengan tangisan. Katanya, dia
bukan anak saya. Darah kami berlainan.
“Saya terkejut
besar. Bila saya tanya mana dia tahu, katanya ketika menderma darah dia
dapati jenis darahnya tidak ada persamaan dengan darah saya. Saya
langsung tidak terfikir kecurangan Hamizan sampai ke tahap ini.
“Hamizan ketika ditanya menafikan, namun ujian darah membuktikan bahawa Nuraine adik-beradik dengan anak-anak
saya yang lain, satu emak tetapi lain ayah. Hamizan tetap berdegil
tidak mengakui kesahihan ujian tersebut, meskipun saya dapat agak siapa
sebenarnya ayah Nuraine.
“Malah pernah
rakan-rakan sepejabat Hamizan ada mengatakan wajah Nuraine sama seperti
salah seorang pegawai tinggi di pejabatnya. Tetapi Hamizan menafikan.
Bukan sekali dua wajah Nuraine menjadi pertanyaan ramai, banyak kali.
“Hamizan kini
masih sebumbung dengan saya, tetapi saya tidak pernah menyentuhnya sejak
hampir 10 tahun lalu. Anak-anak tidak menghormatinya lagi. Mereka
enggan bertegur sapa, tidak bercakap sopan, kalau bercakap pun dengan
kasar, membuatkan Hamizan menangis.
“Anak-anak tahu
perbuatan keji emak mereka dan tahu pengorbanan saya demi menjaga hati,
maruah dan pembelajaran mereka. Anak sulung saya kini star-performer di
jabatannya. Nuraine mewakili syarikatnya bertugas di Eropah sementara
anak ketiga akan tamat pengajian tidak lama lagi. Inilah pengorbanan
saya. Biar hati lebur asal anak-anak bahagia.
“Yang penting saya tidak mahu korbankan masa depan mereka dengan sikap saya yang tidak sabar dan mengikutkan rasa saya.
“Nuraine hampir
setiap hari menelefon saya bertanya khabar. Anak-anak lebih sayangkan
saya dan lebih suka berbincang dan berbual dengan saya daripada emak
mereka. Inilah sebabnya saya masih tidak menceraikan Hamizan.
“Saya tetap
tidak mengampunkan Hamizan. Biar dia nazak dan meminta maaf atau saya
sedang nazak dan dia sujud menangis meminta ampun, saya tetap tidak akan
memaafkannya. Saya tahu Allah Maha Pengampun, Nabi Muhammad juga
mengampunkan umatnya. Namun, saya bukan Allah dan saya juga bukan Nabi
Muhammad. Saya seorang biasa dan tidak akan melakukan sesuatu untuk
menyamai Allah atau Nabi.
“Ada saya
terbaca bahawa ibadah seseorang isteri tidak diterima Allah sekiranya
dia melakukan dosa besar terhadap suaminya dan tidak mendapat
pengampunan daripadanya. Jika benar, saya tidak akan mengampunkan apa
juga dosa Hamizan. Sungguh saya tidak menyangka kebahagiaan, kesenangan,
kesetiaan dan kepercayaan yang saya curahkan kepada dia disia-siakan.
“Kalaulah
membunuh bukan satu kesalahan dan tidak membawa aib kepada keluarga,
sudah lama saya cincang-cincang Hamizan untuk menjadi jamuan
anjing-anjing liar di tepi jalan dengan daging busuknya,” demikian
cerita Zain.
Nampaknya Zain
telah melakukan pengorbanan besar bukan sahaja untuk adik-beradiknya,
anak-anaknya malah menjaga nama baik dan maruah mentuanya. Namun saya
tertanya-tanya apakah Zain sudah bertanya kehendak Hamizan untuk masa
depannya? Mungkin dia ingin menjadi burung yang terbang bebas? Kepada
pembaca, dapatkah anda pertimbangkan jika mempunyai isteri yang curang
seperti ini?
0 comments:
Post a Comment