PASUKAN penyelamat gigih mencari tujuh murid Orang Asli SK Tohoi yang
hilang dalam hutan di Pos Tohoi, Gua Musang, Kelantan semalam.
GUA MUSANG 12 Sept. - Para pemandu pelancong yang berpengalaman luas
meneroka gua serta hutan di kawasan daerah ini menyifatkan kehilangan
tujuh murid Orang Asli Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi sebagai kejadian
yang cukup aneh dan misteri.
Bagaimanapun mereka tetap percaya kanak-kanak terbabit yang hilang sejak
23 Ogos lalu itu masih hidup dan mampu bertahan di dalam hutan
tersebut.
Seorang pemandu pelancong, Sabri Zul,
34, berkata, kes kehilangan tujuh murid Orang Asli secara serentak
dalam tempoh dan hari sama itu merupakan sesuatu yang agak pelik.
Sabri berkata, dia pernah terlibat dalam operasi mencari seorang
penuntut universiti tempatan yang hilang selama 19 hari di Gunung Tahan
pada tahun 2008, tetapi akhirnya mangsa dapat ditemui dalam keadaan
selamat.
Dia yang bekerja sebagai pemandu pelancong di Taman Negara Sungai Relau,
Pahang sejak 16 tahun lalu berkata, mangsa, Nur Umaisarah Sameaun yang
ketika itu berumur 21 tahun tidak mempunyai kepakaran ilmu dalam hutan
tetapi dapat bertahan hidup hampir 20 hari.
“Saya merasakan kanak-kanak ini masih hidup kerana mereka sudah biasa
dengan persekitaran hutan. Jika mengikut pengalaman lepas, orang yang
terperangkap di dalam hutan lebih 20 hari sudah tidak bermaya dan
fizikalnya memang kurus kering ketika mereka ditemukan,” katanya ketika
ditemui di sini hari ini.
Seorang lagi pemandu pelancong, Mohd. Tahir Mat Saman,
55, berkata, dia yakin kanak-kanak terbabit mampu berdikari selain
mencari ikhtiar hidup sepanjang tempoh berada di dalam hutan tersebut.
Beliau yang berpengalaman lebih 30 tahun sebagai pemandu pelancong
berkata, kebanyakan masyarakat Orang Asli telah diajar mengenai ilmu
hutan sejak kecil dan mereka arif tentang selok-belok kawasan tersebut.
“Sesuatu yang agak pelik jika Orang Asli sesat di hutan kerana kawasan
berkenaan merupakan tempat asal mereka. Saya rasa mereka tidak akan
sesat.
“Masyarakat Orang Asli juga akan melatih dan membawa anak mereka sejak
kecil supaya mengetahui kehidupan di dalam hutan,” katanya.
Tambahnya, dia berharap kes kanak-kanak Orang Asli ini tidak mengulangi
misteri kehilangan seorang jurutera Petronas di Pulau Keldong dekat Pos
Pulat, pada tahun 2004.
“Misteri kehilangan jurutera tersebut sehingga hari ini terus menjadi
tanda tanya. Tiada sebarang petunjuk dapat ditemukan sehingga sekarang,”
katanya.
Norazlanuddin Samat,
32, pula merasakan kanak-kanak terbabit hanya tersesat dan tidak
berkait dengan kejadian mistik sebagaimana yang dibangkitkan sesetengah
pihak sebelum ini.
“Kemungkinan tujuh murid tersebut telah tersesat dan mencari jalan
pulang ataupun telah disembunyikan. Segalanya berkemungkinan, kerana
anggota penyelamat juga masih belum menemukan sebarang petunjuk baharu
walaupun operasi telah dilakukan secara menyeluruh,” katanya.
0 comments:
Post a Comment