Monday, September 7, 2015

Filled Under:

Punca Ditetak Kerana Menjeling !!



Georgetown – Polis menahan dua lelaki di dua lokasi berasingan, kelmarin bagi membantu siasatan kes pergaduhan membabitkan sekumpulan lelaki di Kompleks Bukit Jambul, di sini, petang Ahad lalu.

Sumber berkata, kedua-dua suspek berusia 20-an itu ditahan lewat petang kelmarin di dua lokasi berasingan di Bukit Jambul dan Relau sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL) untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata, dalam kejadian pada jam 3 petang Ahad lalu, seorang lelaki cedera ditetak akibat kerana menjeling sebelum diserang sekumpulan lelaki ketika mangsa berusia 18 tahun itu bersama dua rakan pergi menonton wayang di kompleks beli-belah berkenaan.

“Mangsa dari Paya Terubong itu dipercayai diserang sekumpulan enam hingga 10 lelaki yang bersenjatakan parang dan topi keledar sejurus keluar dari pawagam.

“Punca kejadian dipercayai kerana perasaan tidak berpuas hati kumpulan berkenaan terhadap mangsa yang dikatakan menjeling seorang daripada lelaki daripada kumpulan berkenaan.

“Mangsa mengalami pendarahan teruk di pergelangan tangan kiri dan luka sebelum dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, siasatan mendapati, mangsa tidak mempunyai sebarang masalah peribadi atau hutang dengan kumpulan berkenaan atau pihak lain dan siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 148, Kanun Keseksaan iaitu merusuh dengan senjata.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi IPDTL di talian 04-21818822 atau balai polis berhampiran, lapor Harian Metro.




0 comments:

Post a Comment