Seorang pekebun terkejut apabila nangka madu yang ditanam berhampiran
rumahnya di Pekan Kayu Ara Pasong, dekat sini, berbentuk seakan-akan ibu
yang sedang mendukung anak.
Abdul Hamid menunjukkan nangka madu yang ditanam berhampiran rumahnya
di Pekan Kayu Ara Pasong berbentuk seakan ibu yang mendukung anak.
Abdul Hamid Sargidon, 70, berkata, dia menanam benih nangka madu itu
beberapa tahun lalu dan hanya menyedari pokok itu mula mengeluarkan buah
pada minggu lalu.
“Saya nampak pokok nangka madu itu mula berbuah dan buahnya hanya sebiji di batang pokok.
“Saya dan isteri kemudiannya membersihkan kawasan sekitar pokok yang
dipenuhi dengan lalang dan dahan pokok pelam yang terletak di sebelahnya
beberapa hari lalu,” katanya.
Jelasnya, selepas dibersihkan, dia dan isteri amat terkejut apabila
mendapati nangka madu itu mempunyai bentuk seakan seorang ibu yang
mendukung anaknya.
“Saya dan isteri terfikir bentuk nangka seolah-olah melambangkan kami
yang mempunyai sebuah keluarga besar iaitu anak seramai enam orang
dengan 17 cucu serta seorang cicit yang masih kecil,” katanya ketika
ditemui di rumahnya di sini, semalam.
Katanya, kejadian pelik itu pertama kali dialami sepanjang
penglibatannya dalam bidang pertanian dan tidak pernah melihatnya di
tempat lain.
“Saya akan terus biarkannya membesar dan jaga pokok nangka madu ini dengan sebaiknya,” katanya.
Kewujudan nangka pelik itu turut menyebabkan rumahnya menjadi tumpuan penduduk sekitar yang mahu melihat sendiri buah tersebut.
-Sinarharian
0 comments:
Post a Comment