Menjadi
kurus mungkin impian bagi kebanyakan orang tetapi tidak bagi suku Bodi
di Ethiopia yang menganggap bertubuh gemuk itu bererti sihat.
Suku
kaum yang tinggal di sudut terpencil di Lembah Omo, Ethiopia itu
menjadikan sebuah rumah di situ sebagai tempat untuk melakukan ritual
pelik iaitu golongan lelaki muda perlu meminum darah dan susu lembu
untuk dinobatkan sebagai lelaki bertubuh gemuk.
Enam
bulan selepas perlawanan dimulakan, lelaki-lelaki itu muncul untuk
menayangkan bentuk badan mereka agar terpilih sebagai pemenang.
Kini,
ritual yang sudah jarang diamalkan itu menjadi subjek daripada beberapa
gambar luar biasa yang diambil oleh jurugambar amatur dari Perancis,
Eric Lafforgue.
Lafforgue telah menghabiskan masa bersama masyarakat
suku Bodi ketika melakukan perjalanan di sebelah barat daya Ethiopia
untuk mengikuti perayaan Tahun Baru Bodi atau upacara Ka'el.
Malangnya,
upacara Ka'el dan cara hidup tradisional suku Bodi itu kini terancam
berikutan rancangan kerajaan untuk memindahkan kira-kira 300,000 orang
dari kawasan tersebut. Suku itu mengamalkan upacara Ka'el dalam gaya
tradisional pada setiap bulan Jun.
Setiap keluarga dibenarkan menghantar seorang lelaki yang belum
berkahwin untuk menyertai pertandingan tersebut. Jika terpilih, mereka
harus berhenti melakukan aktiviti harian dan tidak boleh keluar dari
rumah atau melakukan aktiviti seks mengikut masa yang ditentukan.
Makanan-makanan
bagi membolehkan mereka mendapat tubuh yang gemuk itu diperolehi dalam
bentuk darah lembu dan susu campuran yang disajikan secara teratur oleh
kaum wanita di kampung mereka.
"Lembu merupakan haiwan suci bagi suku Bodi dan disebabkan itu, ia tidak dibunuh.
"Darah
diambil dengan cara membuat lubang pada pembuluh darah lembu tersebut
menggunakan tombak atau kapak dan kemudian, mereka menutup lubang
tersebut dengan tanah liat," jelas Lafforgue.
Muntah
Tambahnya,
disebabkan keadaan cuaca yang panas, golongan lelaki tersebut perlu
minum dua liter darah dan susu lembu sebelum ia menjadi beku.
"Mangkuk
pertama terdiri daripada darah dan perlu diminum ketika matahari terbit
tetapi tidak semua mereka sanggup meminumnya sebelum ia menjadi beku.
"Ini
kerana mereka akan muntah setiap kali cuba untuk minum darah tersebut
tetapi mereka perlu mengamalkan tabiat itu jika ingin menjadi gemuk,"
katanya.
Pada hari pertandingan berlangsung, golongan lelaki itu
akan menutup bahagian tubuh mereka menggunakan tanah liat dan abu,
sebelum keluar dari rumah untuk berjalan ke lokasi upacara dijalankan.
Namun, disebabkan berat badan mereka, ramai yang cuba menggunakan jalan pintas.
"Beberapa orang daripada mereka mempunyai tubuh yang begitu besar sehingga tidak mampu untuk berjalan lagi.
"Malah, salah seorang daripada mereka meminta saya menumpangkan mereka hingga ke lokasi upacara berlangsung.
"Ketika
perjalanan, dia kembali meminum susu dan darah lembu kerana ingin terus
menggemukkan badannya sehingga ke detik-detik terakhir pertandingan,"
beritahu beliau.
Upacara itu termasuklah ritual berjalan dalam
sebuah lingkaran di sekitar pohon suci selama beberapa jam, dan ditonton
oleh kaum lelaki yang lain.
Mereka juga mendapat bantuan daripada golongan wanita yang akan memberikan mereka minuman beralkohol.
Setelah
seorang pemenang dipilih, upacara tersebut berakhir dengan
penyembelihan lembu menggunakan seketul batu dan kemudian mereka akan
memeriksa bahagian perut dan darah lembu itu untuk melihat masa depan
sama ada baik atau sebaliknya.
Setelah upacara berakhir, golongan
lelaki itu kembali menjalani kehidupan normal. Sebahagian daripada
mereka berjaya mendapatkan kembali berat badan asal dengan mengambil
kuantiti makanan yang sedikit selama beberapa minggu.
Tetapi beberapa minggu kemudian, generasi berikutnya akan kembali bersaing untuk mendapatkan gelaran lelaki tergemuk.
"Menjadi
seorang lelaki gemuk merupakan impian setiap anak-anak suku Bodi tetapi
beberapa minggu selepas upacara tersebut, pemenang akan kembali
mendapatkan berat badan normal mereka, tetapi dia akan tetap dikenang
sebagai seorang pahlawan selama hayatnya," tambahnya.
0 comments:
Post a Comment