Bekerja
sebagai seorang pemandu teksi memang banyak risikonya. Terutama jika
terpaksa mengambil penumpang pada waktu malam. Akhir-akhir ini, banyak
kes-kes jenayah yang melibatkan pemandu teksi. Samada sebagai mangsa
atau pemangsa. Begitulah yang terjadi kepada seorang kawan aku bernama
Sadiq. Dia baru sebulan jadi pemandu teksi. Tapi pengalaman yang
dilaluinya bukan saja tragis, malah diselubungi misteri. Manakan tidak,
teksi yang dipandunya tiba-tiba terbakar sebelum terjunam beberapa belas
meter ke dalam gaung di kawasan Bukit Langat.
Hari
ini Sadiq terlantar di Hospital Ampang Puteri dengan kecederaan parah
di seluruh badan. Sebahagian tubuhnya melecur teruk akibat terbakar.
Kecut perut aku melihat keadaan fizikal Sadiq yang sebegitu rupa. Sadiq
sudah sedar sewaktu aku menziarahinya di wad. Matanya terkelip-kelip
memandang aku seakan ingin mengatakan sesuatu. Namun alat bantuan
pernafasan yang menyerkup mulutnya menghalang komunikasi antara kami.
Bahasa tubuhnya tak dapat aku fahami. Di satu sudut, ibu Sadiq sedang
teresak-esak menangis sambil cuba ditenteramkan oleh ayahnya. Manakala
Khalil, adik lelaki Sadiq yang berumur 19 tahun kelihatan murung
merenung jauh ke luar tingkap. Aku difahamkan, adiknya ada bersama
sewaktu kemalangan yang hampir meragut nyawa mereka tu. Hairannya, dia
langsung tidak mengalami sebarang kecederaan serius.
Aku mendekati Khalil untuk mendapatkan maklumat lebih jelas berkenaan kejadian yang berlaku. Khalilpun mula bercerita;
Malam
tu abang Sadiq jemput saya pulang dari kolej macam biasa. Sewaktu dalam
perjalanan balik ke Lembah Jaya Selatan, ada seorang perempuan muda
menahan teksi abang Sadiq di sekitar Ampang City. Kulitnya agak gelap
kehitaman. Pakaiannya nampak kotor. Wajahnya terselindung di sebalik
tudung lusuh. Dia minta dihantar ke atas Bukit Langat sebab keretanya
kehabisan minyak di sana. Tanpa berfikir panjang, abang Sadiq pun
tumpangkan dia. Masa dia masuk dalam teksi, saya dah terasa macam ada
yang tak kena dengan perempuan tu. Bau badan dia meloyakan tekak. Macam
bau benda hangus pun ada. Tapi saya diamkan aje.
Hujan
lebat yang turun sejak petang menjadikan pergerakan kenderaan kurang
lancar disamping jalan yang licin dan bengkang-bengkok. Mujur kenderaan
tak berapa banyak waktu itu. Satu ketika, saya mula tercium bau minyak
petrol. Saya memandang abang Sadiq. Kemudian menoleh ke arah perempuan
itu melalui cermin pandang belakang. Hanya sorot matanya sahaja yang
kelihatan. Hati saya dah mula rasa tak sedap.
“Petrol ni untuk isi dalam kereta… habis minyak kat atas bukit nu.” Kata perempuan tu tanpa ditanya.
“Masuk
ni dah dua kali dah kereta Ina kehabisan minyak. Tempat yang sama pulak
tu. Kali pertama tu Ina tahan teksi jugak untuk beli petrol. Masa
hantar Ina balik ke kereta, pemandu teksi tu cuba buat benda tak elok
pada Ina. Bila Ina melawan, dia mula berkasar. Dia lempang Ina dua kali.
Rasa macam nak pengsan. Tak pernah Ina kena lempang sampai macam tu
seumur hidup Ina. Lepas tu…” Kata-kata perempuan yang bahasakan dirinya
Ina tu terhenti. Dia mula menangis teresak-esak.
“Lepas kena
lempang, Ina terlalu lemah dan lemas untuk mempertahankan diri. Ina
langsung tak berdaya. Sesak nafas dan rasa macam nak mati. Lepas tu Ina
diseret…” Sekali lagi Ina diam. Saya makin rasa tak selesa. Macam ada
sesuatu yang tak kena dengan Ina. Saya cuit peha abang Sadiq. Cuba
menyatakan rasa kurang selesa saya dengan cerita Ina. Abang Sadiq
rapatkan jari telunjuk ke mulut menyuruh saya diam. Kemudian mulut abang
Sadiq nampak kumat-kamit macam baca sesuatu. Saya pandang cermin
pandang belakang sekali lagi. Ina nampak gelisah. Matanya liar memerhati
keluar. Saya turut memerhati keluar. Cuaca gelap dan hujan terus
mencurah lebat. Selain kami, tak ada sesiapa yang melalui jalan itu.
Saya tanya Ina samada dia ada buat laporan polis atau tidak. Dia geleng.
Tak sempat katanya. Tapi dia cam pemandu teksi itu. Kata Ina, orangnya
kurus tinggi dan berkulit hitam manis. Bermisai dan berambut keriting
macam abang Sadiq.
“Nak tau apa berlaku lepas tu?” Tanya Ina satu ketika. Saya dan abang Sadiq saling berpandangan. Ina dah berhenti menangis. Saya menoleh seimbas dan nampak sorot mata ina yang tajam sambil tersenyum sinis. Berderau darah saya masa tu.
“Tak apalah
Ina, kami bersimpati dengan apa yang terjadi pada Ina. Anggaplah semua
tu ujian Tuhan. Lambat laun, pasti lelaki itu akan ditangkap. Kat mana
kereta Ina?” Tanya saya sekadar nak menghilangkan debar di dada.
“Kat sinilah!” Jawab Ina serta-merta. Abang Sadiq memperlahankan teksi. Namun kami tidak nampak kereta Ina di mana-mana.
“Kat
sinilah! Pemandu teksi tu curah petrol pada Ina. Lepas tu dia nyalakan
lighter macam ni!” Sambung Ina. Kami terkejut besar bila menyedari api
marak membakar tempat duduk belakang teksi. Saya cepat-cepat melompat
keluar. Tapi abang Sadiq gagal mengawal kereta sehingga terhumban ke
dalam gaung. Api terus marak. Jeritan Ina bergema berselang-seli dengan
kilat dan petir. Saya pengsan!
Sedar-sedar kami dah terlantar kat
hospital. Peliknya, hanya kami berdua sahaja yang orang jumpa. Jasad
Ina ghaib macam tu aje. Saya dah buat laporan polis semalam. Diorang dah
pergi siasat kat tempat kejadian.
Dan pagi tadi kami dikejutkan
dengan berita penemuan mayat rentung tak jauh dari tempat kemalangan dan
dipercayai milik seorang perempuan. Hairannya, mayat tu mungkin dah
seminggu ada kat situ. Mustahil Ina yang dimaksudkan. Tapi kalau bukan
Ina, ke mana Ina hilang? Itulah yang saya menungkan sejak tadi. Cuba nak
cari jawapan atas apa yang dah berlaku!
Dengar
cerita Khalil buat aku terdiam sejenak. Memang menakutkan jika aku
berada di tempat mereka pada ketika tu. Boleh jadi, ada perkaitannya
kewujudan Ina dengan penemuan mayat tu. Mungkin Ina cuba menyampaikan
sesuatu maklumat kepada mereka. Ataupun rohnya tak tenteram sehingga dia
mengganggu pengguna jalan raya yang melalui jalan tersebut.
Perhatian
aku beralih kepada Sadiq apabila terdengar dia mengerang sakit. Aku
menghampirinya. Sadiq merenung aku dengan mata berair. Mulutnya
bergerak-gerak. Aku kira, Sadiq ingin katakan sesuatu kepada aku. Aku
buka penutup plastik yang menyerkup mulut Sadiq. Kemudian aku rapatkan
telinga ke mulutnya. Dia menarik nafas berat.
“Arghh…
aku dah insaff… arghh.. panggil polis datang… aku nak serah diri… a aku
taknak dia apa-apakan kaum keluarga akuu… arghh….” Sadiq mengerang
perlahan di telinga aku. Kemudian dia terus meracau tanpa aku fahami
biji butirnya. Aku beristighfar. Terkejut dan kesal. Tapi aku tak sampai
hati untuk memanggil polis datang. Biarlah Sadiq pulih dahulu. Kemudian
terpulanglah kepadanya samada ingin menyerah diri atau menunggu
undang-undang membongkar segalanya.
0 comments:
Post a Comment