Mencecah usia 44 tahun, penyanyi dan pelakon Amy Mastura masih tetap
ayu dan langsing sehinggakan tidak nampak perubahan ketara kepada bekas
pramugari Penerbangan Malaysia (MAS) itu.
Bagi Amy tiada rahsia kecantikan menjadi amalannya, cuma yang ada
pegangan kuatnya kepada prinsip kesederhanaan dalam setiap aspek
kehidupan.
Tidak hairanlah, Amy atau nama sebenarnya Amy Mastura Suhaimi hari ini kekal dengan raut wajah yang tidak lokek dengan senyuman selain sikapnya yang mudah didekati hingga membuatkan ramai menyenangi penampilan artis kecil molek ini.
"Rahsia kecantikan? ..saya sebenarnya tidak mempunyai sebarang rahsia tapi rasanya lebih elok jika mengamalkan kesederhanaan.
"Orang selalu tanya saya bagaimana saya menjaga bentuk badan agar
tidak gemuk. Sebenarnya jika mahu, boleh saja saya gemuk tetapi saya
lebih selesa dengan bentuk tubuh begini kerana sesuai dengan ketinggian
saya.
"Makan pun lebih elok secara bersederhana saja, contohnya kalau
hendak makan nasi, tak perlu makan nasi setiap hari. Jika hendak
bersenam pun, jangan keterlaluan sehingga memudaratkan badan," kata Amy
sambil meleret senyuman kepada BH Plus.
Kata Amy, dia kurang mengamalkan sebarang petua tradisional untuk kekal muda tetapi dia mengambil makanan yang sihat.
Tambahnya lagi, dia turut mengamalkan vitamin untuk kecergasan badannya.
Menyentuh tentang senaman dan penjagaan badan, Amy menggunakan mesin bersenam memandangkan umurnya semakin meningkat.
Ditanya sama ada dirinya ada menyuntik serta ingin menggubah wajah
demi kecantikan, Amy berkata, ia tidak pernah dilakukannya sebaliknya
menerima perubahan wajah mengikut peredaran usia serta menghargai proses
semula jadi itu.
"Bagi saya tiada apa yang perlu dirisaukan untuk berdepan dengan
proses tua kerana setiap garis di wajah itu menyimpan kenangan
tersendiri. Boleh dikatakan saya menghargai proses penuaan ini kerana
kita tidak selamanya kekal muda.
"Namun saya tidak menghakimi mereka yang memilih untuk terus kekal
muda tapi saya lebih selesa bersederhana begini. Biarlah saya menjalani
kehidupan dengan cara positif.
"Menyanyi adalah minat saya, begitu juga berlakon. Jadi, mana mungkin
saya mahu melupakan terus bidang itu. Bagi saya populariti artis itu
berlandaskan pada rezeki dan kita tidak selamanya akan berada di atas,"
katanya yang kini bahagia di samping suami, Alvin Tham Suffian serta dua
puterinya, Adriana Tham, 14, dan Adalia, 10.
"Dulu saya menggunakan khidmat pembantu rumah namun kini semuanya
diuruskan oleh saya sendiri. Lebih selesa melihat anak-anak membesar
depan mata," kata Amy mengakhiri perbualan.
Sementara itu, Amy bakal tampil bersama Sherry Alhadad dan AG Hot FM
sebagai pengacara Anugerah Bintang Popular BH 2014 yang bakal bersiaran
secara langsung pada 5 April ini di Arena Of Stars, Genting Highlands.
0 comments:
Post a Comment